Tunggu sehingga Januari 2027 jika beli rumah pertama RM500,00-RM750,000

Berita Harian, 12 October  2026

 Jaminan pembiayaan perumahan sebanyak RM20 bilion di bawah SJKP dapat membantu kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Juwai IQI menasihatkan pembeli rumah pertama supaya menunggu sehingga Januari 2027 untuk menandatangani perjanjian jual beli sekiranya harga hartanah yang ingin dibeli adalah antara RM500,000 hingga RM750,000.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan teknologi hartanah antarabangsa itu memaklumkan Belanjawan 2027 menaikkan ambang harga hartanah kepada RM750,000 berbanding RM500,000 sebelum ini.

"Sebelum Januari 2027, anda tidak akan menikmati sebarang pengecualian duti setem, tetapi mulai Januari 2027 dan seterusnya anda boleh menjimatkan lebih daripada RM15,500.

Jumlah itu adalah berdasarkan andaian pinjaman 90 peratus ke atas hartanah bernilai RM750,000," kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

Manfaat kedua adalah pelepasan itu berkuat kuasa sehingga 2030, menurut kenyataan itu lagi.

"Jelas sekali, kerajaan mengiktiraf kepentingan langkah ini. Ia melanjutkan program itu dengan dua cara, menaikkan harga maksimum yang layak untuk pengecualian dan kerajaan telah melanjutkan program ini sehingga 2030," kata beliau.

Kashif berkata, perkara penting yang ketiga adalah peruntukan hampir RM1 bilion untuk inisiatif perumahan awam, termasuk program Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat (PRR) terutamanya dalam kalangan pembeli berpendapatan rendah.

"Kedua-dua Rumah Mesra Rakyat dan PRR memberi impak yang besar kepada ribuan keluarga," kata beliau.

Menurut beliau, jaminan pembiayaan perumahan sebanyak RM20 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dapat membantu kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama, terutamanya kepada golongan yang bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap.

-BERNAMA

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/10/1666305/tunggu-sehingga-januari-2027-jika-beli-rumah-pertama-rm50000.)