SJKP sasar bantu lebih 100,000 individu miliki rumah tahun ini

Harian Metro, 21 January 2026

 GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Putrajaya: Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyasarkan untuk membantu lebih 100,000 individu memiliki rumah idaman mereka menjelang akhir tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata setakat 30 Sept lepas, SJKP telah meluluskan jaminan pinjaman perumahan bernilai RM23.17 bilion dan berjaya membantu sebanyak 97,180 individu memiliki rumah idaman masing-masing.

"SJKP diperuntukkan khusus kepada golongan B40 dan M40, termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti pekerja gig economy, yang majoritinya terdiri daripada golongan muda untuk membeli rumah idaman.

"SJKP memberikan jaminan pembiayaan hingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, merangkumi kediaman baharu, subsale (sedia ada), dan unit lelongan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata bagi meringankan beban bayaran pendahuluan, skim SJKP MADANI turut diperkenalkan dengan tawaran jaminan pembiayaan hingga 120 peratus daripada harga hartanah.

Pada masa yang sama, beliau berkata pembiayaan secara Step-Up Financing turut diperkenalkan mulai tahun lepas bagi mengurangkan beban kewangan golongan belia dalam pembelian rumah pertama.

"Melalui mekanisme ini, ansuran bulanan adalah lebih rendah bagi tiga hingga lima tahun pertama dan hanya akan meningkat secara berperingkat mengikut jadual yang telah dipersetujui," katanya.

Nga berkata Kerajaan MADANI telah menambah siling nilai jaminan pembiayaan SJKP sebanyak RM10 bilion tahun lepas, menjadikan jumlah keseluruhan nilai jaminan SJKP sejak diperkenalkan pada 2008 hingga kini adalah sebanyak RM40 bilion.

Beliau berkata KPKT akan mengadakan sesi libat urus dengan Bank Negara dalam masa terdekat bagi menggalakkan penglibatan semua institusi perbankan dalam pelaksanaan skim berkenaan supaya semua institusi kewangan mendukung dasar perumahan negara.

"KPKT akan terus memantau pelaksanaan skim ini secara dekat bagi memastikan impak pelaksanakan SJKP yang maksimum.

"KPKT bukan sekadar menyediakan rumah, malah turut memastikan sistem pembiayaan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat Malaysia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

 

(Web Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2026/01/1313603/sjkp-sasar-bantu-lebih-100000-individu-miliki-rumah-tahun-ini?source=widget)