SJKP sasar bantu 100,000 individu miliki rumah menjelang akhir tahun
Berita Harian, 21 January 2026
SJKP meluluskan jaminan pinjaman perumahan bernilai RM23.17 bilion dan membantu 97,180 individu memiliki rumah idaman masing-masing. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) meletak sasaran membantu lebih 100,000 individu memiliki rumah menjelang akhir tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata setakat 30 September lalu, SJKP meluluskan jaminan pinjaman perumahan bernilai RM23.17 bilion dan membantu 97,180 individu memiliki rumah idaman masing-masing.
"SJKP diperuntuk khusus kepada golongan B40 dan M40, termasuk yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti pekerja ekonomi gig yang majoritinya adalah golongan muda, untuk membeli rumah idaman.
"SJKP memberi jaminan pembiayaan hingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, merangkumi kediaman baharu, subsale (sedia ada), dan unit lelongan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagi meringankan beban bayaran pendahuluan, Kor Ming berkata, skim SJKP MADANI diperkenalkan dengan tawaran jaminan pembiayaan hingga 120 peratus daripada harga hartanah.
Pada masa sama, katanya, pembiayaan secara Step-Up Financing turut diperkenalkan mulai tahun lalu bagi mengurangkan beban kewangan golongan belia dalam pembelian rumah pertama.
"Melalui mekanisme ini, ansuran bulanan adalah lebih rendah bagi tiga hingga lima tahun pertama dan hanya meningkat secara berperingkat mengikut jadual yang dipersetujui," katanya.
Kor Ming berkata, Kerajaan MADANI menambah siling nilai jaminan pembiayaan SJKP sebanyak RM10 bilion tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan nilai jaminan SJKP sejak diperkenalkan pada 2008 hingga kini sebanyak RM40 bilion.
Beliau berkata, KPKT akan mengadakan sesi libat urus dengan Bank Negara dalam masa terdekat bagi menggalakkan pembabitan semua institusi perbankan dalam pelaksanaan skim berkenaan supaya semua institusi kewangan mendukung dasar perumahan negara.
"KPKT akan terus memantau pelaksanaan skim ini secara dekat bagi memastikan impak pelaksanakan SJKP yang maksimum.
"KPKT bukan sekadar menyediakan rumah, malah turut memastikan sistem pembiayaan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat Malaysia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya. – BERNAMA
(Web Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1499571/sjkp-sasar-bantu-100000-individu-miliki-rumah-menjelang-akhir-tahun)

