'Sebanyak 89.47 peratus permohonan SJKP belia diluluskan untuk beli rumah'
Berita Harian, 8 March 2025
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu. Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 89.47 peratus daripada 76,664 permohonan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diluluskan membabitkan mereka berusia bawah 40 tahun, sekali gus mencapai hasrat kerajaan menyediakan peluang lebih luas kepada belia memiliki kediaman sendiri.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata secara keseluruhannya, jumlah bilangan pinjaman diluluskan menerusi skim berkenaan di seluruh negara meningkat 92 peratus berbanding pada 2019.
Katanya, kejayaan itu adalah impak daripada polisi perlindungan untuk semua yang dilakukan Kerajaan MADANI.
"Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga turut menyebar luaskan akses kepada pembiayaan perumahan bagi pembelian rumah pertama khususnya kepada pelbagai pihak yang tidak atau kurang mampu mendapatkan pembiayaan perumahan seperti golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji," katanya dalam kenyataan hari ini.
SJKP di bawah inisiatif i-Biaya adalah skim jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama sama ada rumah baharu, rumah sedia ada atau lelongan.
Ia adalah satu usaha kerajaan dalam penyediaan akses kepada pembiayaan perumahan mampu milik (RMM) dalam kalangan rakyat.
Sejak pelaksanaannya, SJKP banyak memberi manfaat kepada golongan muda dan mereka yang berpendapatan rendah serta sederhana.
Ia juga manifestasi komitmen kerajaan melalui KPKT dalam memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal sama ada secara pemilikan atau sewaan.
Aiman Athirah berkata, sepanjang pelaksanaan SJKP, mulai 2008 sehingga 31 Disember lalu, sejumlah 76,664 permohonan jaminan pinjaman bernilai RM17.86 bilion diluluskan.
Beliau berkata, sehingga kini, keseluruhan jaminan pembiayaan di bawah SJKP membabitkan jumlah RM30 bilion termasuk tambahan RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025.
(Web source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1369962/sebanyak-8947-peratus-permohonan-sjkp-belia-diluluskan-untuk-beli)

