SJKP Sasar Bantu 100,000 Pembeli Rumah, Jaminan Pembiayaan Masih Terbuka – Menteri

Malaysia Bangkit, 21 January 2026

 Nga Kor Ming

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan bahawa Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyasarkan untuk membantu lebih 100,000 individu memiliki rumah idaman menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI telah menambah siling nilai jaminan pembiayaan SJKP sebanyak RM10 bilion pada tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan nilai jaminan sejak skim ini diperkenalkan pada 2008 mencecah RM40 bilion.

Menurutnya, setakat 30 September 2025, SJKP telah meluluskan jaminan pinjaman perumahan bernilai RM23.17 bilion, sekali gus membantu seramai 97,180 individu memiliki rumah pertama mereka.

“SJKP diperuntukkan khusus kepada golongan B40 dan M40 termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti pekerja ‘gig economy’ yang majoritinya terdiri daripada golongan muda untuk membeli rumah idaman masing-masing,” katanya.

Menurut Nga, skim itu memberi jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, sama ada rumah baharu, sedia ada atau melalui lelongan.

Bagi memudahkan bayaran pendahuluan, beliau berkata, SJKP turut menawarkan Skim SJKP MADANI yang menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah yang dibeli.

Selain itu katanya, sejak 2025, pembiayaan secara ‘Step-Up Financing’ diperkenalkan bagi mengurangkan beban kewangan golongan belia.

Melalui mekanisme itu, Nga berkata, ansuran bulanan lebih rendah untuk tempoh tiga hingga lima tahun pertama, sebelum meningkat secara berperingkat mengikut jadual yang dipersetujui.

“SJKP memberi jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, sama ada rumah baharu atau rumah sedia ada termasuk lelongan,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan sesi libat urus bersama Bank Negara Malaysia dalam masa terdekat.

Langkah itu bertujuan menggalakkan penglibatan semua institusi perbankan dalam pelaksanaan skim tersebut agar dasar perumahan negara dapat didukung secara menyeluruh.

 

(Web Source: https://malaysiabangkit.com/sjkp-sasar-bantu-100000-pembeli-rumah-jaminan-pembiayaan-masih-terbuka-menteri/)