Defisit 3.3 peratus atasi jangkaan, kualiti pengukuhan fiskal jadi tumpuan - Moomoo

Berita Harian, 14 October 2026

KUALA LUMPUR: Sasaran defisit fiskal 3.3 peratus bagi 2027 lebih baik daripada jangkaan pasaran sebanyak 3.5 peratus, namun Moomoo Malaysia menganggarkan pengukuhan fiskal bersih hanya berjumlah RM1 bilion.

Strategis Moomoo Malaysia, Yu Junqiang, berkata angka defisit yang lebih rendah adalah perkembangan positif, tetapi pelabur perlu meneliti cara sasaran itu akan dicapai.

"Bagi pelabur, persoalan lebih berguna ialah bagaimana sasaran itu dicapai kerana komposisi pengukuhan fiskal akan membentuk tindak balas setiap kelas aset," katanya.

Menurut ulasan Moomoo Malaysia, sebahagian besar penurunan nisbah defisit dijangka didorong pertumbuhan nominal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu nilai ekonomi pada harga semasa, dan bukannya pengurangan perbelanjaan kerajaan.

Moomoo Malaysia berpandangan keadaan itu menyebabkan hala tuju fiskal negara berkait rapat dengan prestasi ekonomi sepanjang 2027.

Junqiang berkata, dua andaian utama akan menentukan sama ada sasaran defisit dapat dicapai.

Andaian pertama ialah perbelanjaan subsidi bahan api dapat dihadkan kepada RM40 bilion.

"Had RM40 bilion adalah ketat dan hasil akhirnya bergantung pada harga minyak mentah serta kadar pelaksanaan rasionalisasi subsidi," katanya.

Andaian kedua membabitkan unjuran hasil kerajaan yang menurut Moomoo Malaysia belum mengambil kira kesan pemotongan cukai dalam Belanjawan 2027.

Moomoo Malaysia menilai perincian lanjut mengenai kehilangan hasil dan langkah memperluas asas cukai diperlukan bagi menentukan sama ada unjuran hasil kerajaan kekal realistik.

"Angka utama adalah konstruktif, tetapi sejauh mana hasil sebenar menepati andaian berkenaan akan menentukan berapa banyak perkembangan positif itu diambil kira oleh pasaran sepanjang 2027," kata Junqiang.

Dari sudut pasaran saham, Moomoo Malaysia mengambil pendirian positif secara terpilih dan melihat sektor yang menerima peruntukan khusus sebagai penerima manfaat paling jelas.

Firma itu berpandangan sektor pembinaan paling menonjol kerana peruntukan berkenaan boleh diterjemahkan secara langsung kepada aliran projek.

Antara peruntukan yang dikenal pasti ialah RM3.3 bilion bagi projek di Malaysia Timur, RM2.3 bilion untuk jalan luar bandar dan RM2.5 bilion bagi menangani masalah air tidak berhasil.

Moomoo Malaysia turut melihat potensi manfaat kepada sektor utiliti dan telekomunikasi, tetapi menjangkakan kesan langsung belanjawan terhadap sektor lain lebih terhad.

Bagi sektor perbankan, Moomoo Malaysia menganggap ketiadaan cukai durian runtuh menghapuskan satu risiko utama.

Pertumbuhan pinjaman pula dijangka disokong jaminan kredit perumahan berjumlah RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) serta kemudahan pembiayaan perusahaan kecil dan mikro sebanyak RM11.6 bilion.

Walaupun had kadar peratusan tahunan kad kredit sebanyak 14 peratus boleh memberi kesan kepada pinjaman tanpa cagaran, Moomoo Malaysia menjangka kesannya terkawal.

Kira-kira 300,000 perusahaan kecil dan sederhana pula dijangka mendapat manfaat daripada pengurangan satu mata peratusan kadar cukai.

Moomoo Malaysia turut mengambil kira pelanjutan Elaun Modal Dipercepatkan hingga 2030, kemudahan menuntut semula cukai jualan ke atas mesin buatan tempatan dan pengecualian gaji minimum RM2,000 kepada perusahaan yang mencatat hasil di bawah RM50 juta.

Sebaliknya, Moomoo Malaysia berpandangan syarikat besar berintensif buruh dalam sektor perladangan, pembuatan dan peruncitan mungkin menghadapi tekanan margin akibat peningkatan kos gaji minimum serta keperluan membayar gaji menerusi bank.

Firma itu turut melihat pelaksanaan GEAR-uP sebagai perubahan struktur bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

Sejumlah RM25 bilion diperuntukkan untuk pelaburan domestik pada 2027, termasuk dana pusat data Elmina yang disokong Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera serta pelaburan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Persaraan dalam industri semikonduktor.

Menurut penilaian Moomoo Malaysia, langkah itu boleh menyokong penilaian aset domestik, tetapi pada masa sama meningkatkan bahagian simpanan persaraan yang diperuntukkan selaras dengan keutamaan dasar kerajaan.

Bagi pasaran pendapatan tetap, Moomoo Malaysia mengambil pandangan sedikit positif terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

Bekalan kasar yang lebih rendah berikutan jumlah sekuriti matang yang berkurangan, bersama unjuran nisbah hutang menurun kepada 63.7 peratus daripada KDNK pada 2027, dilihat menyokong pasaran bon.

Moomoo Malaysia berpandangan sambutan bidaan bagi lelongan MGS berjangka 10 dan 30 tahun perlu dipantau berbanding penanda aras 2.01 kali yang dianggap agak lemah.

Sambutan bidaan lebih kukuh akan menunjukkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap hala tuju fiskal negara.

Bagi ringgit, Moomoo Malaysia mengekalkan pandangan neutral kerana pergerakan mata wang tempatan dijangka terus dipengaruhi faktor luaran, terutama dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan harga minyak mentah global.

Dalam aspek penarafan kredit, Moomoo Malaysia tidak menjangkakan tindakan segera selepas pembentangan Belanjawan 2027.

Menurut firma itu, S&P mengekalkan penarafan Malaysia pada A-/Stabil, manakala penilaian Fitch lazimnya dibuat sekitar Disember dan Moody's juga dijangka meneliti langkah fiskal yang sama.

Secara keseluruhan, Moomoo Malaysia menjangkakan agensi penarafan melihat kedudukan kredit negara sebagai bercampur hingga sedikit negatif.

Hasil cukai berada pada 12.8 peratus daripada KDNK, manakala keutamaan terhadap pemotongan cukai pendapatan berbanding langkah memperluas asas cukai terus dilihat sebagai kekangan kepada profil kredit negara.

Moomoo Malaysia turut memberi perhatian kepada kos khidmat hutang yang diunjurkan meningkat 6.5 peratus kepada RM61 bilion.

Jumlah itu bersamaan 16 peratus daripada hasil kerajaan dan melebihi ambang 15 peratus Kementerian Kewangan seperti dinyatakan dalam ulasan berkenaan.

"Sasaran defisit 3.3 peratus sahaja tidak mungkin mencetuskan peningkatan penarafan. Kemajuan meluaskan asas cukai akan menjadi pemacu lebih penting kepada sebarang penambahbaikan penarafan pada masa depan," katanya.

Moomoo Malaysia berpandangan pencapaian sasaran defisit perlu dinilai berdasarkan hasil sebenar dan bukan angka sasaran semata-mata.

Antara petunjuk utama yang perlu dipantau sepanjang 2027 ialah perbelanjaan subsidi, kesan pemotongan cukai, peluasan asas hasil, kos khidmat hutang dan sambutan terhadap lelongan bon kerajaan.

Faktor berkenaan akan menentukan sama ada pengukuhan fiskal yang dirancang benar-benar berkualiti dan mampan.

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/10/1669096/defisit-33-peratus-atasi-jangkaan-kualiti-pengukuhan-fiskal-jadi.)